Assalamualaikum....
Aku baru pulang dari Kuching, Sarawak semalam. Agak teruja juga sebab ini pertama kali aku dapat menjejakkan kaki ke Kuching. Cuma pergi atas urusan kerja memang tak berapa nak puas. Tak dapat nak jalan-jalan sekitar Bandar Kuching. Masa pula suntuk. InsyaAllah, ada rezeki nanti, akanku jejakkan juga kakiku ke sini lagi.
Aku di Kuching, Sarawak selama 2 hari atas tujuan ikuti kursus pelancongan yang ditetapkan Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan. Kursus ini wajib kepada setiap syarikat pelancongan yang baru berdaftar dengan sekurang-kurangnya seorang wakil syarikat hadir ke kursus ini. Kursus ini bertujuan untuk memberi informasi berkaitan pelancongan, pengurusan dan pengoperasian mengikut garis panduan yang ditetapkan kementerian.
Kursus yang dikendalikan oleh ATTIM, Association of Tourism Training Institute of Malaysia memberikan banyak input-input yang berguna serta menarik. InsyaAllah dengan kursus ini mampu meningkatkan lagi kualiti pengurusan dan teknik pemasaran yang terbaik. Kursus-kursus ini dihadiri oleh wakil kementerian dan pemain-pemain industri yang sudi berkongsi pengalaman tentang bagaimana memulakan perniagaan dalam industri pelancongan.
Perniagaan pelancongan bukannya sesuatu perkara yang mudah untuk dilakukan. Ia memerlukan kemahiran yang tinggi dalam pengurusan, pengetahuan yang mendalam. Bukan sahaja pengetahuan dalam bidang pengendalian pelancongan, tetapi ia melibatkan banyak perkara seperti sejarah, geografi, pengetahuan am, politik dan pelbagai lagi. Ia merupakan perniagaan jangka masa panjang dan keuntungan bukanlah matlamat utama.
Keuntungan sememangnya perkara yang diperlukan bagi sesiapa sahaja yang menjalankan perniagaan. Tetapi jika ianya merupakan matlamat utama, kualiti perniagaan itu tidak dapat dicapai dengan baik dan tidak akan bertahan lama. Dalam perniagaan pelancongan, kualiti perlu diutamakan sebaik-baiknya. Kerana ia melibatkan perkhidmatan. Jadi, pelanggan merupakan kunci utama perniagaan ini.
Industri pelancongan menyumbang RM60.5 billion pada tahun 2012 dengan 25 juta pelancong datang ke Malaysia. Pada tahun ini iaitu Tahun Melawat Malaysia 2014, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mensasarkan pendapatan sebanyak RM76 billion dengan kehadiran seramai 28 juta pelancong. Dan pada tahun 2020 nanti, sasaran pendapatan dari sektor pelancongan sebanyak RM168 billion dengan kehadiran seramai 36 juta pelancong.
Dari jumlah pelancong luar yang datang ke Malaysia, jumlah utama adalah hadir dari negara yang berjiran dengan kita. Paling ramai adalah dari Singapura dengan peratusan 52% pada tahun 2012, disusuli dengan Indonesia sebanyak 10% menunjukkan kebergantungan kita dengan dua negara dalam sektor pelancongan adalah tinggi.
Satu perkara yang aku nampak dalam industri ini adalah setiap pemain-pemainnya adalah persaing antara satu sama lain tetapi mereka juga saling memerlukan sesama mereka. Setiap pemain ini ada kepakaran masing-masing. Untuk memastikan perniagaan mereka ada kepelbagaian, hubungan sesama pengendali ini adalah amat diperlukan. Seperti syarikat aku, kami ada kepakaran dalam pengurusan pakej umrah tetapi belum ada perkhidmatan tiket penerbangan, lain-lain pelancongan dan pengangkutan persiaran. Jadi, dengan menjalinkan rangkaian antara pengendali yang lain, ia menjadikan syarikat kami ada kepelbagaian. Ia boleh dijadikan sebagai one-stop-centre bagi para pelanggan kami.
Perkongsian ilmu oleh pemain-pemain industri di kursus ini juga banyak memberikan inspirasi dan sebagai kayu ukur dalam perjalanan perniagaan syarikat. Pengalaman yang dikongsikan oleh mereka ini memberikan banyak idea-idea yang dapat meningkatkan lagi prestasi syarikat. Perkongsian mereka ini juga menunjukkan kepada aku yang segala pengurusan dan pemasaran yang setakat ini sudah berada di jalan yang betul cuma perlu ada penambahbaikan.
Bidang pelancongan ini sememangnya merupakan lubuk emas. Tetapi ia memerlukan tahap kesabaran yang amat tinggi kerana kita perlu berdepan dengan karenah para pelanggan. Customer is always right perlu sentiasa terbit dalam hati. Kadang-kadang kita jumpa pelancong yang lebih berpengetahuan dari kita. Kadang-kala juga kita jumpa pelancong yang tiada ilmu pengetahuan tapi mengatakan pendirian mereka adalah betul. Jadi, permainan psikologi perlu ada dalam memastikan hati pelanggan tidak terguris disamping perniagaan tidak terjejas.
Perniagaan pelancongan merupakan perniagaan yang berisiko tinggi. Cuma, pihak pengurusan perlu memastikan risiko yang ada dapat dikurangkan setipis yang mungkin melalui pelbagai cara. Kerana syarikat pelancongan memerlukan modal pusingan yang besar dan ia melibatkan perkhidmatan kita dengan pelanggan di mana kepuasan pelanggan perlu diberikan keutamaan yang sebaik mungkin.
Pengalaman mengikuti kursus pengurusan pelancongan ini memberi sedikit sebanyak idea-idea baru dan dapat menambahbaikkan pengurusan berkenaan perkhidmatan ini. Di topik seterusnya nanti, aku akan berkongsi sedikit sebanyak perihal berkenaan pengurusan pakej umrah yang lebih rumit berbanding pakej percutian yang lain.





No comments:
Post a Comment